Monday, November 25, 2013

Dialah Segalanya

Petikan blog ISMA Kedah dalam entri bertajuk 'Wahai Generasi Muda!' -

(Nasihat Rasulullah saw kepada Ibnu ‘Abbas ra)

“Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajarkan kepadamu beberapa kalimah: 
Peliharalah Allah, nescaya Dia akan memeliharamu. 
Peliharalah Allah, kamu akan mendapatiNya bersamamu. 
Apabila kamu meminta sesuatu, maka mintalah daripada Allah. 
Apabila kamu meminta pertolongan, maka mintalah pertolongan daripada Allah. 

Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. 

Dan sekiranya mereka berhimpun untuk mendatangkan sesuatu bencana ke atasmu, mereka tidak akan dapat mendatangkannya kecuali dengan sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah ke atasmu. Telah diangkat pena dan telah keringlah lembaran”

(Diriwayatkan dari Ibnud Abbas oleh Imam At Tirmidzi, katanya Hadis hasan sahih)

Ibnu Rajab al-Hanbali berkata dalam kitabnya Jami’ Ulum wal Hikam, “Hadis ini mengandungi beberapa wasiat agung dan prinsip utama mengenai perkara-perkara terpenting yang berkaitan dengan agama ini.”

Nasihat Rasulullah saw di atas disampaikan kepada sepupu beliau iaitu Abdullah bin Abbas ra, sedangkan ketika itu Ibnu Abbas masih diambang usia pemuda. Ianya bermaksud supaya dia dapat menggunakan usia muda, kekuatan dan kecergasan yang dimilikinya dengan sebaik mungkin. Lebih-lebih lagi pemuda adalah harapan ummah. Melalui tangan-tangan merekalah tertegaknya dakwah kebenaran dan keadilan. Sedangkan para pendokong kebatilan dan kejahatan sangat berhajat untuk menyesatkan mereka denganbersungguh-sungguh. Sebab itu pemuda amat berhajat kepada petunjuk dan bimbingan yang kukuh, agar mereka tetap teguh berhadapan dengan iblis dari kalangan manusia dan jin.


Peliharalah Allah nescaya Allah memeliharamu.

Peliharalah Allah bermaksud berilitizam dengan perintah Allah swt, menjaga batasan diri pada perintah Allah swt. Laksanakan titah perintahNya dan sesekali tidak memandang remeh terhadapnya. Jauhi segala laranganNya dan binalah tembok konkrit pendinding di antara diri dengan laranganNYa itu. In Syaa Allah Dia akan memeliharamu, agamamu dan aqidahmu daripada penyelewengan, menjauhkan dirimu daripada bisikan-bisikan nafsu dan kotoran kesesatan, memeliharamu daripada syaitan serta menjagamu dari penganiayaan dan penindasan.


Peliharalah Allah nescaya Allah bersamamu.

Sekiranya kamu menjaga batasan-batasan hukum dan hak-hak Allah nescaya Allah swt akan bersamamu. Dia akan mengawasimu, mengabulkan segala doamu, serta memenuhi segala keperluanmu. Firman Allah swt:

“Tidakkah engkau memikirkan, bahawa sesungguhnya Allah mengetahui segala yang ada di langit dan yang ada di bumi? Tiada berlaku bisikan antara tiga orang melainkan Dialah yang keempatnya dan tiada (berlaku antara) lima orang melainkan Dialah yang keenamnya dan tiada yang kurang dari bilangan itu dan tiada yang lebih ramai, melainkan Dia ada bersama-sama mereka di mana sahaja mereka berada. Kemudian Dia akan memberitahu kepada mereka pada hari kiamat, apa yang mereka telah kerjakan. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu.”
(Surah al-Mujadilah ayat 7)

Jagalah Allah melalui perjuangan menegakkan agamaNya, maka Allah akan menolongmu memenangkan agama Allah dengan menjadikanmu syahid atau hidup mulia, bukankah kita mengharapkannya? Sesiapa yang memelihara Allah maka Allah bersamanya, mengawal, membantu, memelihara, menguatkan dan memberi taufiq kepadanya setiap kali dia diselubungi kegelapan dan tertekan dengan suasana.

Mintalah sesuatu hanya kepada Allah.

Allah sahajalah tempat seorang muslim meminta dalam segala urusannya kerana hanya Dialah yang mampu memberikan kurnia serta segala keperluan hidup makhlukNya. Dialah yang menciptakan alam semesta beserta isinya, maka Dia pulalah yang memilikinya. Alam serta seisinya merupakan kepunyaan Allah swt, manusia tiada memiliki sesuatu bahagian pun daripadanya. 

Sepertimana kata-kata hikmah: “Sesiapa yang tidak mempunyai sesuatu, dia tidak mampu untuk memberi”. Mintalah kepada Allah, Dzat yang tidak jemu memberi. Mintalah daripadaNya, Dzat yang tidak pernah tertutup pintu pemberianNya. Kerana meminta kepada selain dariNya adalah kehinaan dan kerendahan. Mintalah hanya kepadaNya dengan penuh harap dan menunduk merendahkan suara, kerana sesungguhnya Dia tidak bisu lagi tuli.

Mintalah pertolongan daripada Allah.

Meminta pertolongan hanyalah kepada Dzat yang benar-benar kuat serta berkuasa. Kerana hanya Dia dapat menjamin dan mampu memberikan pertolongan kepada yang memintanya. Seorang hamba perlu kepada pertolongan dalam setiap urusan sama ada besar atau kecil. Tidak ada yang mampu memberikan pertolongan sedemikian kecuali hanya Allah swt. Selain daripadanya adalah makhluk yang tidak dapat menolak kemudharatan daripada dirinya sendiri mahupun orang lain, juga tak dapat mendatangkan kemanfaatan termasuklah kepada diri sendiri. Allah adalah Dzat yang Maha Perkasa, yang tidak mungkin dapat ditewaskan oleh sesiapa jua. Sesiapa yang meminta pertolongan kepada selain daripada Allah swt adalah kehinaan dan kelemahan. FirmanNya:

“Jika engkau menolong Allah, Dia akan menolong kamu dan meneguhkan kedudukanmu”
(Surah Muhammad ayat 7) ~ ayat ketujuh lagi..


'Ketahuilah! Sesungguhnya jika seluruh manusia berhimpun untuk memberi sesuatu manfaat kepadamu, mereka sekali-kali tidak akan dapat memberikan manfaat itu kepadamu kecuali sesuatu yang telah ditetapkan oleh Allah untukmu. '


Bertawakal kepada Allah.

Seorang mukmin mestilah meyakini bahawa kebaikan dan bencana merupakan ketetapan Allah swt. Hasil rancangan yang diatur dan dilakukan oleh makhluk, sama ada dalam bentuk kemanfaatan dan kemudharatan adalah tertakluk kepada kehendakNya. Makhluk, termasuk manusia hanyalah menjadi sebab untuk mereka mendapat balasan baik atau azab. 

Oleh itu berserah dirilah hanya kepada Allah swt. Tiada seorang manusia pun yang mampu mendatangkan sebarang kesusahan yang tidak ditetapkan oleh Allah swt atasmu, bahkan Allah swt akan melindungimu daripadanya. Begitu juga tiada seorang manusia pun yang dapat memperdayamu dengan memberikan sebarang manfaat, apa yang diingininya itu tidak mungkin terlaksana sekiranya Allah swt tidak mengkehendakinya. Allah berfirman,

“Tidak ada sesuatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri, melainkan telah tertulis di dalam kitab (lauh Mahfudz)”
(Surah al-Hadid ayat 22)

Bertawakallah, kerana tawakkal akan melahirkan iman yang mantap untuk mempercayai qadha’ dan qadar Allah swt. Tawakkal bukanlah menyerah kalah dengan nasib, tetapi tawakkal adalah beramal dan melakukan ikhtiar bagi menjalankan perintah-perintah Allah swt serta menghadapi cabaran dari musuh-musuhNya.

Masuklah ke dalam Islam secara kaffah.

Masuklah ke dalam Islam dengan pemahaman yang sebenar dan menyeluruh. Tidak diturunkan Islam oleh Allah swt kecuali sudah sempurna sepertimana yang dibawakan oleh Rasulullah saw. Ikuti Islam sepertimana yang diajarkan oleh Baginda saw tanpa menambah dan mengurangi kerana ianya telah lengkap dan sempurna. Telah diangkat pena dan telah habis lembaran-lembaran. Firman Allah swt:

“Pada hari ini telah Aku sempurnakan bagi kamu agamamu dan telah Aku sempurnakan atasmu nikmatKu dan Aku redha kepadamu Islam sebagai agamamu”
(Surah al-Maidah ayat 3)

Islam adalah ajaran yang telah lengkap dalam berbagai-bagai sendi kehidupan. Oleh itu jadikanlah ia sebagai kayu ukur dalam menempuh bahtera hidup, nescaya kamu akan selamat. Perintah Allah swt:

“Wahai orang yang beriman, masuklah ke dalam Islam secara keseluruhannya”
( Surah al-Baqarah ayat 208 )

 Artikel ini dipetik dari Mihwar bil. 13 tahun 2002.

di sambung lagi petikan daripada blog kaahil.wordpress.com yang menyatakan ia diambil dari ulamasunnah.wordpress.com dari buku Bagaimana Mendidik Putra-Putri Kita karya Asy Syaikh Muhammad bin Jamil Zainu, penerjemah: Abu Umar Al Bankawy, muroja’ah: Al Ustadz Ali Basuki, Lc)~ penghargaan pada semuanya...


"Pena-pena telah diangkat dan lembar-lembar telah kering”
(HR. At-Tirmidzi dan beliau berkata hadis ini hasan sahih).

Maksudnya, tawakkal kepada Allah swt disertai dengan mengambil sebab, kerana pernah Rasulullah saw bersabda kepada pemilik unta, “Ikatlah untamu kemudian bertawakkallah”. (Hadits hasan, riwayat At-Tirmidzi).


“Kenalilah Allah di masa lapang, maka Allah akan mengenalmu di masa sulit”.
~Pada riwayat selain At-Tirmidzi

Tunaikanlah hak-hak Allah swt dan hak-hak manusia di kala lapang, maka Allah swt akan menyelamatkanmu di waktu kesempitan.


“Ketahuilah bahawa apa yang (ditakdirkan) luput darimu tidak akan menimpamu dan apa yang (ditakdirkan) menimpamu tidak akan luput darimu”

Jika Allah swt menahan sesuatu darimu, maka ia tetap tidak akan sampai padamu. Dan apabila Allah swt memberimu sesuatu, maka tidak akan ada sesuatu pun yang boleh menahannya.


“Ketahuilah bahawa pertolongan menyertai kesabaran”

Pertolongan untuk menghadapi musuh dan terhadap diri sendiri itu sesuai dengan kesabaran yang diberikanNya.


“Sesungguhnya ada kelapangan bersama kesusahan”

Kesusahan yang menimpa seorang yang beriman akan disusul oleh kelapangan setelahnya. Sebab itu kita sangat disarankan bersabar dan bertawakkal kepadaNya..


“Dan sesungguhnya bersama dengan kesulitan itu ada kemudahan”
(Dihasankan oleh pentahqiq Kitab Jami’ul Ushul dengan penguat-penguat hadis tersebut).

Kesukaran yang dirasakan oleh seorang muslim, maka akan datang setelahnya satu atau dua kemudahan. In Syaa Allah...

Wallahualam.. Perkongsian buat renungan bersama..



No comments:

Post a Comment