Friday, November 29, 2013

Beriman QnQ



Assalam alaik..

Bismillah..


Dari segi bahasa qadha bererti hukum, ketetapan, perintah, kehendak, pemberitahuan, dan penciptaan manakala dari perspektif qadha adalah ketentuan atau ketetapan Allah swt dari sejak zaman azali tentang segala sesuatu yang berkenaan dengan makhlukNya sesuai dengan iradah (kehendakNya), meliputi baik dan buruk, hidup dan mati, dan seterusnya. 

Perkataan qadar pula dari segi bahasa bererti kepastian, peraturan, dan ukuran yang mana menurut istilah, qadar adalah perwujudan ketetapan (qadha) terhadap segala sesuatu yang berkenaan dengan makhlukNya yang telah ada sejak zaman azali sesuai dengan iradahNya. Qadar juga dikaitkan dengan takdir Allah swt yang berlaku bagi semua makhluk hidup, baik yang telah, sedang atau akan terjadi.

Mengikut terminologi yang dirumuskan Prof. Dr Mohamad Rabi’ Jawhari, pensyarah Kuliah Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Qada’ adalah pengetahuan Allah swt tentang perbuatan yang lampau, sedang dan yang akan berlaku telah ditetapkanNya sejak azali dan tertulis di Lauh Mahfuzh manakala Qadar adalah terjadinya suatu perkara yang baik mahupun buruk sesuai dengan prinsip sifatnya, ukurannya, dan syaratnya mengikut aturan dan kehendak Allah swt. (Aqidatuna, Juzuk 2)

Beriman dengan Qada’ dan Qadar merupakan sebahagian Rukun Iman iaitu meyakini bahawa seluruh penciptaan alam semesta dan segala isinya mengikut ilmu Allah swt dan kebijaksanaanNya. Sesungguhnya Dia berkuasa ke atas tiap sesuatu dan berkuasa menentukan seperti dikehendakiNya. FirmanNya,
"Sesungguhnya Kami menciptakan setiap sesuatu menurut Qadar (ukuran yang telah ditentukan).” 
(Surah al-Qamar ayat 49)

“Tiada suatu bencana pun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauh Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.” (Surah Al-Hadid ayat 22)



Sabda Rasulullah saw,
“Sesungguhnya yang pertama diciptakan oleh Allah adalah ‘Al-Qalam'. Allah berfirman kepadanya; ‘Tulislah.’ Al-Qalam pun berkata; ‘Ya Tuhan, apakah yang aku akan tulis?’ Allah berfirman; ‘Tulislah akan qadar (ketetapan) dan segala apa yang terjadi sehingga menjelang Kiamat.” (Riwayat Abi Daud)



Tersangat Luas Ilmu Allah swt tidak ada sedikitpun terluput daripada pengetahuanNya. Berdasarkan ilmu Yang Maha Sempurna itu Allah swt menulis segala sesuatu yang akan terjadi, yang belum terjadi dan yang sudah terjadi di Lauh Mahfuzh, 50’000 tahun sebelum Allah swt ciptakan langit dan bumi. Rasulullah saw bersabda,
“Allah telah mencatatkan taqdir-taqdir sekalian makhlukNya 50’000 tahun sebelum diciptakan langit-langit dan bumi.”
(Riwayat Muslim)

Apa yang telah tercatat dalam Lauh Mahfuzh berlaku menurut kehendak Allah swt dengan penuh perincian melangkaui akal manusia, satu-persatu, tiada satupun yang terlepas daripada ilmu, kehendak dan penciptaan Allah swt. Tiada sesuatu di alam ciptaanNya ini yang terjadi berlawanan dengan kehendakNya. Kerana Maha Luasnya pengetahuan Allah swt maka tiada siapapun mampu menghitungnya sehingga hal ini diperhatikan oleh Imam Ja’afar as-Sodiq rhm, sebagaimana katanya, “Orang yang terlalu memikirkan masalah Qadar ibaratnya seperti orang memandang terik mentari, semakin kuat ia melihat semakin bertambah ia merasa hairan.” (Jami’ Bayan al-‘Ilmi wa Fadhlih, Ibn ‘Abd al-Barr)

Keyakinan terhadap Qada’ dan Qadar Allah swt memerlukan hambaNya melaksanakan tiga perkara;
  • Berdoa kepada Allah swt agar mempermudahkan baginya untuk mendapat kesenangan, menjauhkannya daripada kesusahan dan segala laranganNya di samping bertawakkal kepada Allah swt dan meminta perlindungan daripadaNya, agar kita sentiasa bergantung dengan Allah swt untuk mendapatkan perkara kebajikan dan kebaikan serta meninggalkan kejahatan. Menurut riwayat Muawwiyah bin Haidah, suatu ketika Arab dusun mendatangi Rasulullah saw bertanya 'pakah Allah itu dekat sehingga kami memohon kepadaNya dengan lirih atauka Dia jauh lalu kami memohon kepadaNya dengan berseru?' Lalu turunlah FirmanNya:“Dan apabila hambaKu bertanya kepadamu (wahai Muhammad) tentang Aku maka (jawablah) bahawasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepadaKu maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Aku dan hendaklah mereka beriman kepadaKu agar mereka selalu berada dalam kebenaran.” (Surah Al-Baqarah ayat 186)
  • Berusaha bersungguh2 mencapai tujuan kejayaan akhirat sebagaimana usaha yang dilakukan untuk mencapai tujuan dunia. Beristirehat dan sambil lewa tanpa usaha dan tiada perancangan adalah amalan menuju pengangguran dan kemiskinan dunia dan akhirat. Sabda Nabi saw,“Hendaklah kamu melakukan perkara yang mendatangkan manfaat kepada kamu, dan mintalah pertolongan kepada Allah, jangan kamu mudah berasa lemah (malas). Sekiranya musibah menimpa kamu maka janganlah kamu berkata; ‘Kalaulah dulu aku lakukan begitu tentu ia akan jadi begini’, tetapi katakanlah, ‘Allah telah menentukan dan setiap yang dikehendakiNya akan dilakukanNya’. Adanya perkataan ‘kalau’ akan membuka peluang kepada syaitan.” (Riwayat Muslim)
  • Bersabar atas setiap yang telah ditentukan dan tidak meratap atau menyesal atas suatu musibah atau dugaan yang menimpa. Kita mengetahui bahawa semua yang terjadi adalah dengan kehendak Allah swt pasti perasaan redha dan berserah hadir dalam diri. Tiada sesiapa yang boleh terlepas daripada perkara yang ditetapkan untuk menimpanya dan perkara yang tidak ditetapkan ke atasnya tidak akan menimpanya. Firman Allah  swt, “Katakanlah (wahai Muhammad); Tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah Pelindung yang menyelamatkan kami, dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah orang yang beriman harus bertawakal.” (Surah At Taubah ayat 51)
Qada dan Qadar disebut juga sebagai takdir dan takdir mengikut pandangan ulama’Ahl as-Sunnah wa al-Jamaah adalah berdasarkan firmanNya,
“Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki, dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki), dan di sisiiNya terdapat Umm al-Kitab(Lauh Mahfuz).” 
(Surah Ar-Ra'd ayat 39)

Pada firmanNya di atas dikatakan frasa ayat “Allah menghapuskan apa yang Dia kehendaki dan menetapkan (apa yang Dia kehendaki),” merujuk kepada Taqdir Mu'allaq manakala frasa ayat “Dan di sisiNya terdapat Umm al-Kitab,” merujuk kepada Taqdir Mubram.;

Taqdir Mubram:
Taqdir muktamad dan ia tertulis di Lauh Mahfuz. Tidak ada apa-apa pengurangan, penambahan atau pengubahan kepada taqdir ini. Ia adalah ketentuan Allah swt yang pasti berlaku dan tidak dapat dihalang oleh sesuatu apa pun.Ia adalah suatu ketetapan yang tidak dapat diubah secara semulajadi. Contohnya: Tarikh dan tempoh kehidupan atau tarikh dan masa kematian atau anak yang dilahirkan bermata sepet sedangkan ibu bapanya bermata besar. Dalam contoh mata, ia tidak dapat diubah secara semulajadi tetapi mungkin dapat diubah dengan kemajuan perubatan. 

Taqdir Mu’allaq:
Mu'allaq bererti tergantung. Taqdir tertulis yang boleh tetap dan boleh berubah dengan kehendak Allah swt, sangat berkait atau bergantung kepada kadar usaha dilakukan oleh manusia. Ia adalah ketentuan yang tidak semestinya berlaku bahkan bergantung kepada sesuatu perkara seperti usaha ikhtiar dan doa. 

Contohnya, cita2 berkerjaya sebagai doktor memerlukannya rajin berusaha, belajar bersungguh2 dan berdoa sentiasa agar menjadi mahasiswa cemerlang dalam bidang perubatan. Dengan izinNya dia berjaya atau mungkin juga tidak menjadi doktor kerana Allah swt merencanakan sesuatu yang lebih baik baginya iaitu memiliki perniagaan farmasi yang laris. Seperti sabda Rasulullah saw,
“Tidak boleh ditolak ketetapan Allah Taala melainkan doa. Dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan berbuat baik kepada ibu bapa.” (Riwayat Hakim, Ibnu Hibban dan Tirmizi)

Menurut ulama Ahli as-Sunnah, doa berpengaruh dalam mengubah apa yang telah tertulis dalam konteks Taqdir Mu'allaq. Dengan berdoa seseorang hamba itu akan merasakan dirinya lemah dan berhajat kepada Allah swt. Akan tetapi perubahan yang kita pohon itupun sudah ditetapkan melalui doa. Janganlah kita menyangka apabila berdoa, bererti meminta sesuatu yang belum tertulis, bahkan doa kita telah tertulis dan apa yang terjadi kerananya juga telah tertulis.

Begitu juga penyakit yang merupakan taqdir Allah swt boleh disembuhkan melalui rawatan dan pegharapan yang bersungguh-sungguh kepadaNya, ia juga termasuk dalam Taqdir Mu’allaq. Rasulullah saw pernah ditanya,
“Ya Rasulallah, bagaimana pandanganmu terhadap ruqyah yang kami gunakan untuk jampi, ubat-ubatan yang kami gunakan untuk menyembuh penyakit, perlindungan yang kami gunakan untuk menghindari daripada sesuatu, apakah itu semua boleh menolak taqdir Allah?" Jawab Rasulullah saw, ‘Semua itu adalah (juga) taqdir Allah.” (Riwayat Tirmizi)

FirmanNya, “Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri.” 
(petikan sebahagian ayat 11 Surah Ar-Ra’d)

Maka, apa yang tercatat dalam Taqdir Mu’allaq boleh diubah oleh Allah swt atas sebab yang diusahakan oleh manusia dengan kehendak Allah swt. Namun perubahan itu tidak terkeluar daripada apa yang Allah swt sedia ketahui dan tulis dalam Taqdir Mubram. 

Ketika Khalifah Umar al-Khattab ra bermusafir bersama beberapa sahabat dari Madinah ke tanah Syam. pada bulan Rabi’ul Akhir tahun 18 H, di mana tujuan perjalanannya adalah untuk melihat keadaan rakyat dan para gabenornya. Setelah beberapa hari menempuh perjalanan, rombongan Umar mendapat berita bahawa Syam telah dilanda wabak ta’un ‘Amwas. Umar kemudiannya bermusyawarah bersama para sahabat di  rombongan itu dan bersepakat memutuskan untuk kembali ke Madinah.

Abu Ubaidah ra yang ketika itu menjadi gabenur di Syam mempersoalkan keputusan Umar al-Khattab r.a, “Wahai Amirul Mukminin, mengapa kamu lari daripada taqdir Tuhan?”

Umar ra lantas menjawab, “Ya, aku lari daripada taqdir Allah kepada taqdir yang lain. Apa pendapatmu wahai Aba Ubaidah seandainya engkau memiliki seekor unta yang turun di sebuah lembah yang memiliki dua lereng, salah satunya subur dan yang keduanya tandus, bukankah jika engkau membiakkannya di tempat yang subur bererti engkau menggembala untamu itu dengan taqdir Allah? Begitu pun sebaliknya, jika engkau membiakkannya di tempat tandus, bukankah engkau menggembalakannya juga dengan taqdir Allah?” 

Tiba-tiba datang Abdurrahman bin ‘Auf kerana keperluannya lalu berkata; “Sesungguhnya dalam masalah ini aku memiki ilmunya, aku telah mendengar bahawa Rasulullah saw bersabda, 'Jika engkau mendengar wabak ta’un di sebuah negeri maka janganlah kamu memasukinya, dan seandainya wabak ta’un terjadi di negeri yang engkau tinggal di dalamnya janganlah engkau meninggalkan negerimu kerana lari daripada ta’un.' (Riwayat Muslim)

Menurut sejarah, ta’un ‘Amwas itu mengorbankan sekitar 25’000 – 30’000  Muslimin. Di antara mereka yang meninggal dunia akibat wabak ini adalah Abu Ubaidah ‘Amir bin Al-Jarrah ra, salah seorang daripada sepuluh orang sahabat Nabi yang mendapat jaminan syurga Allah Taala.

Maha Suci Allah swt Yang Maha Kaya menjadikan ketentuanNya beberapa sebab yang boleh menolak dan mengangkatnya seperti berdoa, sedekah jariah, pengetahuan, perubatan, dan sebagainya. Beriman terhadap Qada' dan Qadar sama sekali tidak menafikan kewajipan kita berusaha dan berikhtiar melakukan yang terbaik dalam kehidupan ini.

Allah pemilik Dzat Yang Maha Adil, tidak akan sesekali menzalimi hambaNya, barangsiapa yang jujur dalam melaksanakan amal soleh pasti akan dimudahkan jalan menuju Syurga. FirmanNya,
 “Maka barangsiapa yang memberikan (hartanya di jalan Allah) dan bertakwa, dan membenarkan adanya pahala yang terbaik (syurga), maka Kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah(kebaikan dan kebahagiaan).” 
(Surah Al-Lail ayat 5-7)

FirmanNya,
“Dan orang yang berjihad (berusaha dengan bersungguh-sungguh) untuk mencari keredhaan Kami (memenuhi kehendak agama), sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah berserta orang yang berusaha membaiki amalannya.”
(Surah Al-Ankabut ayat 69)

BerIman kepada qadha dan qadar adalah meletakkan percaya dan yakin dengan sepenuh hati bahwa Allah swt telah menentukan tentang segala sesuatu bagi makhlukNya. Rasulullah saw,
”Sesungguhnya seorang itu diciptakan dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nuthfah, 40 hari menjadi segumpal darah, 40 hari menjadi segumpal daging, kemudian Allah mengutus malaikat untuk meniupkan ruh ke dalamnya dan menuliskan empat ketentuan,  tentang rezekinya, ajalnya, amal perbuatannya, dan (jalan hidupny) sengsara atau bahagia.” 
(Hadis Riwayat .Bukhari dan Muslim dari Abdullah bin Mas’ud).

Dari hadis di atas dapat kita ketahui bahwa nasib manusia telah ditentukan Allah swt sejak sebelum ia dilahirkan. Walaupun setiap manusia telah ditentukan nasibnya, tidak berarti  manusia hanya tinggal diam menunggu nasib tanpa berusaha dan ikhtiar. Manusia tetap perlu berusaha, berikhtiar dan berdoa kerana keberhasilan tidak datang dengan sendirinya.

Takdir itu bukannya alasan untuk malas berusaha dan berbuat kejahatan. Pernah terjadi pada zaman Khalifah Umar bin Khattab, seorang pencuri tertangkap dan dibawa kehadapan Khalifah Umar. 
” Mengapa engkau mencuri?” tanya Khalifah. 
Pencuri itu menjawab, ”Memang Allah sudah mentakdirkan saya menjadi pencuri.”
Mendengar jawaban demikian, Khalifah Umar marah, lalu berkata, ” Pukul saja orang ini dengan cemeti, setelah itu potonglah tangannya!.” 
Orang-orang yang ada disitu bertanya, ” Mengapa hukumnya diberatkan seperti itu?”
Khalifah Umar menjawab, ”Ya, itulah yang setimpal. Ia wajib dipotong tangannya sebab mencuri dan wajib dipukul kerana berdusta atas nama Allah”.

Mengenai adanya kewajiban berikhtiar , ditegaskan dalam sebuah kisah. Pada zaman nabi Muhammad saw pernah terjadi bahwa seorang Arab Badwi datang menghadap nabi. Orang itu datang dengan menunggang kuda. Setelah sampai, ia turun dari kudanya dan langsung menghadap nabi, tanpa terlebih dahulu mengikat kudanya. 
Nabi saw menegur orang itu, ”Kenapa kuda itu tidak engkau ikat?.” 
Orang Arab Badwi itu menjawab, ”Biarlah, saya bertawakkal kepada Allah”. 
Nabi saw bersabda, ”Ikatlah kudamu, setelah itu bertawakkalah kepada Allah”.

Dari kisah tersebut jelaslah bahawa walaupun Allah swt telah menentukan segala sesuatu, namun manusia tetap perlu berikhtiar. Kita tidak mengetahui apa yang akan terjadi pada diri kita, oleh sebab itu kita harus berikhtiar. Jika ingin pandai,  belajar dengan tekun. Jika ingin kaya, bekerja dengan rajin diikuti berdoa. Dengan berdoa kita kembalikan segala urusan kita kepada Allah swt. Dengan demikian apapun yang terjadi kita dapat menerimanya dengan redha dan ikhlas.

Terdapat empat peringkat bila memperakui beriman kepada Qada dan Qadar ini iaitu:

Pertama: Beriman bahawa Allah swt mengetahui semua yang akan berlaku sebelum ianya berlaku sebagaimana firman Allah swt dalam Surah al-Baqarah Ayat 30:
“dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”. Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya”.

FirmanNya,
“Sesungguhnya di sisi Allah pengetahuan yang tepat tentang hari kiamat. dan Dia lah jua yang menurunkan hujan, dan yang mengetahui dengan sebenar-benarnya tentang apa yang ada dalam rahim (ibu Yang mengandung). dan tiada seseorang pun yang dapat mengetahui(dengan pasti) apa yang akan diusahakannya esok (sama ada baik atau jahat); dan tiada seorangpun yang dapat mengetahui di bumi negeri manakah ia akan mati. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi amat meliputi pengetahuanNya”.
 [Surah Luqman ayat 34]

Maka martabat yang pertama ini termasuk dalam beriman dengan sifat Ilmu bagi Allah swt.

Kedua: Tulisan dan catatan Allah swt terhadap ilmuNya akan perkara tersebut dalam Kitab di sisNya di atas Arasy sebagimana firman Allah swt:
“Sesungguhnya Kamilah yang menghidupkan orang yang mati dan Kamilah yang mencatat apa yang telah mereka kerjakan dan bekas yang mereka (tinggalkan) dan (ingatlah) segala sesuatu Kami catitkan(kumpulkan) satu persatu dalam Kitab (Lauh Mahfuz) yang jelas nyata”.
[Surah Yasin ayat 12]

Berkata Ibn Kasir rh, “Semua perkara yang berlaku telah pun ditulis (sebelum berlakunya) dalam kitab yang dibentang dan ditetapkan dalam Lauh Mahfuz dan maksud Imam Mubin dalam ayat ini adalah Ibu Kitab” [Ibn Kasir, 6/568]
Demikianlah tafsir ayat ini dengan sepakat Mujahid, Qatadah, dan Abdul Rahman bin Zaid bin Aslam rahimahumullah dan Ibn Jarir al-Tabari rh tidak menyebutkan sebarang khilaf dalam tafsirannya.

Sabda Rasulullah saw:
“Allah swt telah menulis takdir makhluk sebelum Dia mencipta langit-langit dan bumi dalam jarak 50 ribu tahun dan Arasy-Nya berada di atas air”. 
[Riwayat Muslim]

Imam al-Nawawi rh dalam Syarah Muslim menjelaskan bahawa hadis ini menunjukkan peringkat penulisan Allah swt terhadap takdir yang telah diketahuiNya sebelum itu lagi. [al-Minhaj, 16/203]

Ketiga: Martabat beriman bahawa semua yang berlaku dalam alam ini adalah dengan masyiah (kehendak) Allah swt. Hal ini telah ijmak Ahli Sunnah wal Jamaah dan terkenal dalam akidah mereka dengan ibarat,
“Apa yang Allah swt kehendaki pasti berlaku dan apa yang Allah swt tidak kehendaki pasti tidak akan berlaku”.

Firman Allah swt,
“dan sekiranya Allah menghendaki nescaya orang-orang yang datang kemudian daripada Rasul-rasul itu tidak berbunuh-bunuhan sesudah datang kepada mereka keterangan-keterangan (yang dibawa oleh Rasul mereka). tetapi mereka bertelingkah, maka timbulah di antara mereka: orang yang beriman, dan orang yang kafir. dan kalaulah Allah menghendaki tentulah mereka tidak berbunuh-bunuhan; tetapi Allah melakukan apa yang dikehendakiNya”. 
[Surah Al-Baqarah petikan ayat 253]

FirmanNya,
“dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; Sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya)”. 
[Surah Al-Insan ayat 30].
Dalam ayat ini, Allah swt menjelaskan bahawa segala kehendak manusia itu bergantung pada kehendak Allah swt. Jika kehendak mereka sesuai dengan kehendak Allah swt dan diizinkan Allah swt untuk berlaku maka barulah ia berlaku jika tidak maka sama sekali tidak akan terjadi.

FirmanNya dalam surah al-Takwir ayat 29:
“dan kamu tidak dapat menentukan kemahuan kamu (mengenai sesuatupun), kecuali dengan cara yang diatur oleh Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbirkan seluruh alam”.

Keempat: Penciptaan Allah swt terhadap takdir yang ditetapkanNya atau disebut marhalan ‘Penciptaan Perbuatan’ dan inilah yang dimaksudkan dengan Qada’. Maka apa yang Allah swt berkehendak untuk berlaku maka Dia jualah yang menciptanya untuk berlaku. FirmanNya,
 “dan Allah jua yang menciptakan kamu dan apa yang kamu lakukan” 
[Surah Al-Saffat ayat 96].

Apapun hadis ini mengingatkan kepada kita tentang bahayanya mempersoalkan dan memanjang-manjangkan perbincangan mengenai qada dan qadar ini tanpa sebab tertentu. Sabda Rasulullah saw, 
'Apabila disebut tentang qadar maka diamlah…
(Riwayat Tabrani dan Abu Nuaim).

Sabda Nabi saw,
"..dan ketahuilah bahawa jika suatu kumpulan umat manusia yang ramai hendak memberi kebaikan kepada engkau maka mereka tidak akan berjaya memberi apa2 kebaikan kepada engkau melainkan menurut apa yang dahulu ditulis oleh Allah bagi engkau. Dan begitu juga sebaliknya jika mereka hendak mendatangkan kerosakan kepada engkau maka mereka tidak akan berjaya mendatangkan apa-apa kerosakan kepada engkau melainkan menurut apa yang sudah lebih dahulu ditulis Allah bagi engkau. Telah diangkat qalam-qalam (pena-pena) itu dan telah kering tempat tulisan itu."
( Riwayat Tarmidzi ) 

Nyatalah pada kita sekarang yang apa sahaja yang berlaku telah ditentukan oleh Allah swt. Manusia tidak boleh mengubahnya. Namun bagaimana dengan nasib manusia?
Oleh kerana segalanya telah ditentukan, bererti nasib tiap-tiap  manusia juga telah ditentukan. Kalau kaya, kayalah dia..kalau bijak..bijaklah dia! kalau miskin..miskinlah dia. Jadi, apa faedah manusia disuruh berusaha dan berdoa jika dia sudah ditentukan menjadi miskin? Tidakkah manusia boleh mengubah atau membentuk nasibnya sendiri? fikirkan FirmanNya pada Surah Ar-Ra'd ayat 12, 
"Bahawasanya Allah tidak mengubah apa yang ada pada suatu kaum sehingga kaum itu mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri".

Nabi junjungan kita juga ada bersabda, 
"Tidak dibalikkan (atau diubah) Qadha' melainkan dengan doa" 



Andailah kita berjaya mencapai tahap 100% beriman kepada Q&Q ini, In Syaa Allah jiwa kita tenang, redha, tidak rasa sombong dan tidak mudah berputus asa kerana kita percaya segala-galanya adalah ketenetuan Ilahi sejak azali lagi. Sebagai hambaNya, gunalah iktiar akal fikiran berserta usaha dan doa dalam proses mencari sebab kesudahan kita nanti. Bukan menyalahkan takdir kerana kitayang menyebabkannya begitu! Sesungguhnya Allah swt sahaja yang Maha Mengetahui. Apa yang baik hanyalah dari Allah swt, dan segala kelemahan itu dari diri ini. Semoga Allah merahmati kita semua.
Wallahualam...

penghargaan: tarbawi.my\soebhan.net23.net\mashoori.wordpress.com\karya Ustaz Haji Mohd. Taha Sulaimi 

No comments:

Post a Comment